KUALA LUMPUR 23/1/2013 - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memfailkan 29 saman mahkamah terhadap pencarum yang terlibat dalam kes penipuan pengeluaran sepanjang tahun lepas.
Dalam tempoh yang sama juga 24 pencarum telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dalam penipuan pengeluaran perumahan dan hilang upaya manakala 19 kes lagi masih menunggu tindakan mahkamah.
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata selain itu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas, lima pencarum KWSP didapati bersalah oleh mahkamah di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991 kerana menipu pengeluaran perumahan dan dikenakan denda berjumlah RM16,000.
Justeru beliau mengingatkan para pencarum dan individu lain agar tidak melibatkan diri dalam penipuan pengeluaran simpanan KWSP.
"KWSP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penipuan sepertimana yang diperuntukkan di bawah AKTA KWSP 1991," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Affendi berkata mereka yang sabit kesalahan di bawah akta itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata KWSP mempunyai sistem komprehensif yang membolehkan agensi itu mengesan sebarang kegiatan penipuan pengeluaran atau percubaan menipu walaupun setelah simpanan berjaya dikeluarkan.
Beliau menasihatkan para pencarum agar sentiasa berwaspada terhadap sindiket yang kononnya menawarkan pertolongan untuk membantu mengeluarkan simpanan KWSP dengan bayaran yang tinggi.
"Pencarum yang layak dan ingin membuat permohonan pengeluaran hendaklah terus berurusan dengan KWSP yang menawarkan perkhidmatan secara percuma," katanya.
Nik Affendi berkata para pencarum yang berhadapan dengan sebarang bentuk penipuan atau cubaan menipu berkaitan KWSP, perlu melaporkannya terus kepada KWSP dengan menghubungi talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/tipu-pengeluaran-kwsp-saman-29-pencarum-1.124514
0 comments:
Post a Comment
Anda punya sesuatu untuk dikongsikan bersama. Nyatakan idea atau komen anda. Saya mendengar komen anda.