Thursday, May 07, 2015

Wajarkah BR1M Ditukar Dalam Bentuk Unit Amanah Saham

Usul yang dibentangkan berkenaan pemberian BR1M dalam bentuk Unit Amanah Saham seharusnya diberi perhatian. Secara dasarnya ini adalah usul yang baik kerana mendidik rakyat Malaysia mengenali apa itu Unit Amanah Saham khususnya kaum Bumiputera yang rata-ratanya hanya mengenali Amanah Saham Bumiputera sahaja sedangkan terdapat cabang pelaburan dalam Unit Amanah Saham.

Sebenarnya kaum bukan Bumiputera seperti kaum Cina telah lama menabung didalam Unit Amanah Saham kerana mereka tidak berpeluang melabur dalam ASB. Tambahan pula pulangan yang diberikan oleh ASB adalah kecil berbanding pulangan dari Unit Amanah Saham. Jika anda ingin mengenali lebih dekat berkenaan Unit Amanah Saham, silalah layari sisipan artikel di sini.

Pelaburan Saham Unit Amanah Dan ASB

Berbalik kepada persoalan Wajarkah Wang BR1M Ditukar Dalam Bentuk Unit Amanah Saham? Panda pandangan saya, jawapannya adalah YA. Kenapa? Andaikan 80% sahaja yang menjual balik saham-saham yang diperuntukkan, kita masih ada 20% yang kekal melabur dalam Unit Amanah Saham. Sudah tentu ia akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara kerana wang tersebut dilaburkan ke dalam syarikat-syarikat besar yang menjana ekonomi negara. 

Ramai yang masih tidak faham kaitannya di sini berkaitan wang yang dilabur terhadap pertumbuhan ekonomi. Saya faham sebab bukan semua belajar ekonomi termasuklah saya. Tapi untuk pemahaman mudah, kita labur RM500 dalam unit amanah saham, dengan duit itu ianya dilaburkan ke syarikat telekomunikasi lah katakan, maka, syarikat telekomunikasi dapat membeli peralatan berteknologi canggih dan berjaya menambat lebih ramai pelanggan. Seterusnya syarikat telekomunikasi mendapat keuntungan lalu berkongsi keuntungan dengan syarikat unit amanah. Syarikat Unit Amanah Saham pula berkongsi keuntungan dengan para pelaburnya. 

Mereka yang tergolong dalam 20% itu pula pada tahun-tahun yang berikutnya akan berkongsi berita keuntungan dengan kawan-kawan lalu menjadi viral. Jangan terperanjat jika untuk tahun-tahun yang akan datang, akan lebih ramai yang tidak menjual balik lot Unit Amanah Saham mereka. Usul ini pada peringkat awal memang nampak macam tak menjadi tetapi lama-kelamaan angka 20% akan meningkat kepada 25%, 40%, ....60%. Mungkin la, mungkin, apa-apapun kerajaan kena cuba dahulu baru tahu hasilnya dalam 5 tahun.

br1m bantuan rakyat 1 malaysia
_______________________________________
Parlimen Belia mahu BR1M ditukar ke unit amanah

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Belia Malaysia hari ini secara dasarnya bersetuju sistem pembayaran secara tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditukar kepada pembayaran melalui unit amanah.

Wakil Pahang, Mohd Firdaus Abd Samad ketika menggulung usul penetapan supaya kerajaan menjalankan kajian intensif bagi merapatkan jurang pendapatan negara, berkata mekanisme ini dilihat lebih efektif kepada aliran tunai kerajaan.

Wajarkah BR1M Ditukar Dalam Bentuk Unit Amanah?

"Sekiranya BR1M ini diberikan dalam bentuk unit amanah, ia akan ada tempoh matang, jadi dalam masa lima tahun katakan, kerajaan tidak perlu lagi mengeluarkan wang tunai untuk pemberian BR1M, sebaliknya pembayaran seterusnya boleh dibuat menggunakan dividen," katanya.

Usul penetapan supaya kerajaan menjalankan kajian intensif bagi merapatkan jurang pendapatan negara itu dicadang Jawatankuasa Sosio Ekonomi dan diluluskan sebulat suara oleh speaker dewan iaitu Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Negara Datuk Shamsul Anuar Nasarah pada persidangan Parlimen Belia Malaysia kedua di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Antara lain, usul itu turut mencadangkan supaya satu jawatankuasa atau badan seumpamanya ditubuhkan di peringkat Parlimen bagi mengkaji jurang pendapatan negara.

Turut bersetuju ialah wakil Terengganu Alif Rosli yang menarik perhatian bahawa selain pembayaran melalui unit amanah, kerajaan juga boleh menggunakan sukuk.

"Ini adalah antara beberapa mekanisme, yang lebih sesuai untuk jangka masa panjang, berbanding pembayaran secara one-off, yang mana jika diberikan kepada rakyat pun akan dihabiskan dalam masa yang pendek," katanya.

Dalam pada itu, wakil dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Suhail Mohamed Kamaruddin mempersoalkan juga sekiranya perlu lagi kajian ke atas ekonomi rakyat diadakan, memandangkan sudah wujud beberapa badan yang mengadakan kajian sama.

"Unit Perancangan Ekonomi negara pun dah buat kajian dan disokong Jabatan Statistik, tetapi persoalannya kenapa jurang pendapatan ini masih wujud di skala tinggi," katanya.


Sumber : Astroawani.com

0 comments:

Post a Comment

Anda punya sesuatu untuk dikongsikan bersama. Nyatakan idea atau komen anda. Saya mendengar komen anda.