Tuesday, August 16, 2016

Pendaftaran Simpanan Shariah KWSP

Berikut adalah petikan dari laman web KWSP berkenaan Skim Simpanan Shariah KWSP. 
Ringkasannya :

  • permohonan bermula 8/8/2016 dan berakhir pada 23/12/2016.
  • skim simpanan shariah KWSP akan dilancarkan pada tahun 2017.
  • terbuka untuk semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.
  • dana permulaan sebanyak RM100 bilion.
  • dividen tidak dijanjikan sepertimana simpana konvensyenal yang menetapkan pulangan minima 2.5%.
  • penubuhan jawatankuasa penasihat Shariah


KWSP: Pendaftaran Simpanan Shariah Bermula 8 Ogos 2016

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa pilihan simpanan persaraan baru Simpanan Shariah yang akan dilancarkan pada 2017, akan dibuka kepada ahli untuk pendaftaran pada Isnin, 8 Ogos 2016. 
skim shariah kwsp

Dalam taklimat hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata Simpanan Shariah merupakan pilihan simpanan baru untuk ahli KWSP yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada simpanan yang diurus dan dilabur berdasarkan prinsip Syariah.  Simpanan Shariah adalah terbuka untuk semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

“Berikutan keputusan Rundingan Awam yang dijalankan oleh KWSP tahun lepas, lebih 70 peratus responden bersetuju perlu diadakan opsyen untuk ahli memilih supaya simpanan persaraan mereka diurus berdasarkan prinsip Syariah.  Oleh itu, kami dengan sukacita memperkenalkan Simpanan Shariah untuk memenuhi kehendak ahli.”

Datuk Shahril berkata KWSP telah memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM100 bilion, iaitu lebih kurang 15 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion sehingga akhir Mac 2016.  Beliau berkata penglibatan KWSP dalam pelaburan Islamik bukan perkara baru kerana lebih 45 peratus, atau RM295 bilion, dari jumlah aset pelaburan KWSP adalah patuh Syariah.

“Di masa hadapan, kami menjangkakan untuk mengembangkan pelaburan aset Syariah tidak kurang dari RM25 bilion setahun secara purata atau seiring dengan kenaikan jumlah aset bagi mengekalkan minimum 45 peratus aset Syariah.” 

Dari aspek operasi, proses mencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama.  Ahli yang memilih untuk menukar akaun KWSP semasa, yang kini dikenali sebagi Simpanan Konvensional, kepada Simpanan Shariah perlu hadir membawa dokumen pengenalan diri ke mana-mana cawangan KWSP untuk pengesahan cap jari.

Permohonan pendaftaran untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ bermula 8 Ogos 2016. Bagi melayakkan diri untuk Simpanan Shariah 2017, ahli perlu mengemukakan permohonan sehingga 23 Disember 2016 dan tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion. 

Selaras dengan prinsip Syariah, kadar dividen untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi portfolio patuh Syariah dan tiada jaminan kadar dividen minimum 2.5 peratus seperti yang terdapat pada Simpanan Konvensional. Tarikh kuatkuasa Simpanan Shariah adalah 1 Januari 2017.

Sebuah Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) ditubuhkan bagi menyelia semua aspek operasi, pelaburan dan tadbir urus Simpanan Shariah. JKPS juga akan akur produk pelaburan Syariah yang ditadbir dan disahkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000.

Friday, March 25, 2016

Mana Lebih Untung Melabur Dalam ASB Dengan Pinjaman Bank Atau Melabur Secara Tunai?

Ramai diluar sana yang heboh bercerita mengenai tawaran bank untuk melabur dalam ASB melalui skim pinjaman ASB. Ada yang ambil sampai maksima RM200K untuk tempoh 20 tahun. Wow!

Ada pula yang kata "korang bayar sampai tahun ke-7 je, pastu every year keluarkan duit dividen untuk bayar ansuran. Balance 13 tahun lagi tu kira buta-buta je ASB bayarkan loan korang". 


Secara matematik memang betul kenyataan yang di atas tetapi di penghujung tempoh pinjaman, anda akan mendapat pulangan yang rendah.

Siapakah yang untung? Sudah tentulah bank yang mendapat untung.

Bagaimana kiraannya? Apa buktinya? Sebenarnya anda pun boleh lakukan pengiraan melalui Excel.

Kalau simpan duit dalam ASB setiap bulan RM979.17 selama 20 tahun, anda akan dapat RM561K selepas 20 tahun.
Kalau ambil pinjaman bank dengan ansuran RM979.17 selama 20 tahun, anda akan dapat RM331K selepas 20 tahun.

Beza RM230K memang satu jumlah yang banyak.

Saya boleh kongsikan kiraan tersebut secara terperinci tapi kalau tak ramai yang berminat biarlah saya simpan sahaja untuk rujukan anak-cucu-cicit di kemudian hari.

Jika benar-benar berminat, sila komen dan taipkan "Saya nak tahu bagaimana kiraannya". Bila cukup 100 orang komen barulah saya bertindak.


Thursday, March 24, 2016

Dividen dan Bonus ASB 2015

Ramai yang whatsapp saya bertanya tentang ASB. Macammana cara ASB kira dividen la, macammana ASB kira bonus la.

Sedikit maklumat tentang dividen dan bonus ASB 2015 yang telah diagihkan kepada pemegang unit di awal tahun 2016.


Sehingga setakat 31/12/2015 terdapat seramai 8,874,998 pelabur telah membeli unit-unit ASB yang diniagakan pada nilai RM1 seunit. Beli RM1 seunit dan selepas 10 tahun ke atau selepas 20 tahun, nilai jualan balik tetap RM1. Mana untungnya? Untungnya tentulah pada agihan dividen dan bonus.

Bonus sepertimana maksud yang semua kena faham ialah bergantung kepada budi bicara "boss", kalau boss nak bagi bonus, adalah rezeki, kalau tak, terima aje la gaji bulanan sebanyak mana yang diterima pada bulan-bulan yang terdahulu. Serupa juga pada konsep bonus yang diberikan oleh Permodalan Nasional Berhad kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera. Jika PNB nak beri, mereka akan berikan kepada pelabur yang dalam kategori "setia bersama ASB".

Bonus ASB diberikan kepada purata baki minima bulanan selama 10 tahun bermula dari Januari 2006 sehingga Disember 2015. Julat ini tidak tetap, mungkin berubah-ubah setiap tahun mengikut budi bicara PNB. Jangan kita salahkan PNB pulak bila ada tahun dapat lebih, ada tahun dapat sikit. PNB kita punya boss, suka hati dia la nak bagi berapa. Cara kira bonus secara terperinci, sila klik di sini.

jumlah pemegang unit asb 2015
Jika dilihat pada pecahan bilangan individu yang melabur mengikut jumlah pegangan unit, memang osem. Lihat pada kelompok 50001 - 500000, maknanya ramai bumiputera yang mempunyai jumlah wang yang banyak (saya mengandaikan semua melabur tanpa mengambil pinjaman bank). Jika mereka dapat memecahkan pelaburan mereka kepada produk-produk pelaburan yang lain seperti emas, hartanah dan unit saham amanah, sudah tentu nilai pegangan pelaburan dapat dipertingkatkan. Jangan hanya tertumpu pada satu bidang pelaburan sahaja.

Dari segi cabang-cabang pelaburan yang dipilih oleh PNB masih lagi Maybank menerajui senarai. Selebihnya banyak dilaburkan di syarikat-syarikat utiliti dan hartanah.

Ramai pelabur yang tidak mempedulikan akan fakta-fakta yang terdapat didalam laporan tahunan ASB, tetapi sebagai pelabur anda kena tahu dan berhak tahu ke mana duit anda dilaburkan. Dan apakah pendapatan dan apakah perbelanjaan yang di buat oleh mereka yang memegang amanah. Kalau nak faham semua memang agak sukar sebab kita bukannya lulusan perakaunan. Tapi sedikit-sebanyak tentu kita dapat memahami pecahan-pecahan pendapatan dan perbelanjaan.

Itu sahaja sedikit catatan ringkas berkenaan dividen dan bonus ASB 2015, semoga ianya dapat memberi sedikit manfaat buat semua. Sekiranya anda ingin memperuntukkan sejumlah wang untuk cabang pelaburan yang lain, sila hubungi saya, seorang perunding Unit Saham Amanah berlesen. Free consultation!