Friday, March 27, 2015

Saham Syariah Atau Saham Patuh Syariah

Saham syariah adalah ungkapan yang selalu disebut oleh orangramai yang merujuk kepada saham patuh syariah. Saham patuh syariah adalah saham yang telah diberi penilaian oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) mengikut kriteria-kriteria tertentu dan lulus terhadap penilaian tersebut lalu diberikan pengesahan sebagai patuh syariah.

Setakat 30/5/2014 terdapat 665 sekuriti patuh syariah yang tersenarai di Bursa Malaysia. Bagi tujuan pengklasifikasian sesebuah sekuriti itu, pihak MPS akan mendapatkan input dan sokongan dari pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan hal-hal yang berkaitan dengan syarikat tersebut. MPS juga akan mendapatkan maklumat-maklumat dari laporan tahunan syarikat ataupun membuat pertanyaan terus kepada pihak syarikat jika didapati perlu.

Melalui SC, pihak MPS akan senantiasa mengkaji dan memantau status syariah sekuriti-sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia pada setiap tahun, berdasarkan kepada dokumen penyata kewangan tahunan terkini yang telah diaudit.

Dalam menentukan sesebuah sekuriti itu tergolong didalam sekuriti patuh syariah, pihak MPS mengguna-pakai pendekatan kuantitatif dua peringkat iaitu tanda aras aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan. Dengan hal yang demikian, sesebuah sekuriti diklasifikasikan sebagai patuh syariah sekiranya aktiviti perniagaan dan nisbah kewangan mereka kekal berada dibawah paras tanda aras.

Pemantauan yang ketat secara penuh berdisiplin sentiasa menjadi amanah dan tanggungjawab MPS untuk memastikan  sesebuah sekuriti itu dinilai kembali atas faktor-faktor "cuaca ekonomi" yang mudah mempengaruhi aktiviti sesebuah syarikat. Kebiasaannya, demi untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar atau demi untuk menjana pulangan modal yang lebih tinggi akan menyebabkan sesebuah syarikat yang pada asalnya menjalankan aktiviti 100% patuh syariah TETAPI kini terlibat dengan aktiviti perniagaan/pelaburan yang tidak patuh syariah. Ini menjadikan peranan MPS itu lebih besar dalam menjaga pelaburan umat Islam di Malaysia.



Bacaan yang disyorkan :

0 comments:

Post a Comment

Anda punya sesuatu untuk dikongsikan bersama. Nyatakan idea atau komen anda. Saya mendengar komen anda.